fb fb fb fb fb

KDN diarah pertingkat langkah keselamatan Raja-Raja Melayu

Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 3 September – Kementerian Dalam Negeri (KDN) diarahkan untuk mempertingkat langkah-langkah keselamatan melibatkan Raja-Raja Melayu susulan insiden seorang wanita cuba memeluk Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada Ahad lalu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat pasca Kabinet yang diadakan pada Rabu.

"Kementerian Dalam Negeri telah diminta untuk meneliti aspek-aspek mempertingkat keselamatan, terutama yang melibatkan Raja-Raja supaya tidak berlaku sebarang keadaan yang tidak diingini", katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, seorang wanita tempatan berusia 41 tahun dilaporkan meluru ke arah pentas utama dan cuba memeluk Sultan Nazrin semasa lagu kebesaran negeri dimainkan.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota keselamatan berjaya menghalang wanita berkenaan sebelum dia dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Noordin memaklumkan, wanita terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes penyalahgunaan dadah dan kini berada di bawah pemantauan psikiatri.

Susulan insiden itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kawalan keselamatan membabitkan pembesar negeri dan pemimpin akan dipertingkatkan.

Ia termasuk latihan khas untuk pengiring keselamatan dengan penglibatan Unit Tindak Khas serta Komando, agar protokol keselamatan dapat diselaraskan bersama pegawai yang bertugas di istana dan pentadbiran negeri.

ROSLINA BINTI DIN