PUTRAJAYA, 4 April- Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam fasa akhir untuk mencapai persetujuan perkongsian data mengenai pelarian dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Perkara itu bagi memudahkan kerajaan melaksanakan langkah dalam pengurusan pelarian dalam negara secara lebih komprehensif.
Ia telah dibincangkan dalam pertemuan dengan wakil Suruhanjaya Tinggi UNHCR, Thomas Albrecht di Parlimen pagi tadi.
"Kami sekarang dalam fasa akhir untuk mencapai persetujuan perkongsian data mengenai daftar pelarian. Kami di KDN ada sejumlah angka yang kami daftarkan pelarian, UNHCR juga fungsinya mendaftar pelarian.
"Jadi persetujuan kami adalah untuk mengadakan perkongsian data bagi memudahkan kerajaan melaksanakan langkah seterusnya dalam pengurusan pelarian negara kita secara lebih komprehensif," katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini.
Berkenaan aspek latihan, Saifuddin berkata UNHCR mempunyai modul berhubung hak asasi manusia dan juga kemahiran melihat data secara granular memandangkan pertubuhan itu membangunkan sistem pendaftaran mengurus 187,000 pelarian yang berbeza dengan sistem KDN bagi tujuan penambahbaikan.