KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Pemimpin persatuan dan dewan perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negara anggota ASEAN komited untuk meningkatkan perdagangan serantau dan mempermudah akses pasaran menerusi pembentukan Kaukus PKS ASEAN, yang dilancarkan hari ini.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, Kaukus itu akan berfungsi sebagai penghubung antara pembuat dasar dan sektor swasta, bagi menggalakkan perdagangan rentas sempadan, inovasi, dan kemakmuran bersama dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
''Sebenarnya, ilham untuk mengadakan Kaukus PKS Asean ini datang daripada ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kepentingan untuk memperkukuh perdagangan intra-ASEAN, pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 April lalu.
''Jadi SAMENTA dan persatuan PKS lain dari seluruh Asean bersetuju untuk membentuk Kaukus ini dengan satu tujuan, iaitu untuk meningkatkan perdagangan intra-Asean.
''Saya rasa ini bukan sahaja satu peluang, tapi salah satu cara bagaimana kita dapat meminimumkan risiko ketidaktentuan geoekonomi terhadap negara kita, memandangkan cabaran ekonomi yang semakin agresif dan membesar.
"Pada masa sama memastikan bagaimana Asean dapat mengekalkan kepentingannya,'' katanya selepas pelancaran Kaukus PKS ASEAN sempena SME Venture@ASEAN 2025, di sini hari ini.
Majlis pelancarannya disaksikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Ramanan Ramakrishnan, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Tan Sri Nazir Razak bersama wakil-wakil dari sepuluh negara ASEAN.
Tambahnya, Kaukus berkenaan turut menandakan era baharu kerjasama serantau yang akan memperkasakan PKS untuk memainkan peranan lebih besar dalam memacu kelestarian dan pertumbuhan ekonomi inklusif di seluruh ASEAN.