fb fb fb fb fb

KASA peruntuk RM10 juta naik taraf tandas rumah ibadat

KOTA BHARU, 6 Mac- Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM10 juta bagi menaik taraf dan pembaikan segera fasiliti tandas di 485 rumah ibadat pelbagai agama di Semenanjung Malaysia bermula sejak April tahun lalu.

Menterinya, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat Februari lepas kerja-kerja tersebut telah siap dilaksanakan di 84% atau 407 buah rumah ibadat yang terpilih seperti surau, kuil, tokong dan sebagainya.

Katanya, purata kos keseluruhan bagi setiap rumah ibadat terbabit menelan belanja RM20,000 hingga RM30,000 bergantung kepada saiz.

(Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada majlis perasmian dan penyerahan projek penambahbaikan fasiliti tandas di rumah ibadat di
Madrasah Hj Junoh, Kampung Paya Keranji, Kota Bharu)

 

Selain membaik pulih fasiliti tandas, projek tersebut turut memberi penekanan kepada penyelenggaraan, pengosongan dan menambah baik sistem tangki septik dalam usaha mengelakkan pencemaran berlaku.

“Kita jangka pada mei nanti kita akan siap semua projek dan kita telah pun melantik lebih kurang 485 kontraktor tempatan yang Alhamdulillah saya puas hati beberapa tempat saya tengok gerak kerja mereka ni buka hanya sangat untung sahaja tapi mereka juga turut menyumbang ada saham mereka sendiri untuk kelestarian rumah-rumah ibadat," kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis perasmian dan penyerahan projek penambahbaikan fasiliti tandas di rumah ibadat di Madrasah Hj Junoh, Kampung Paya Keranji, Kota Bharu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya telah memperuntukkan dana sebanyak RM20 juta bagi tujuan fasa dua projek tersebut yang akan
dimulakan selepas Mei nanti.

Media Baharu