ISTANBUL, 15 Ogos – Pembinaan Multi-Purpose Mission Ship (MPMS), kapal terbesar dalam sejarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), bermula secara rasmi di Turkiye.
Upacara Keel Laying semalam di limbungan DESAN Kaptanoğlu Shipyard menandakan permulaan proses penyambungan blok utama kapal.
Majlis disempurnakan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rizal Hishamuddin bersama Pengarah Projek MPMS, Kepten Maritim Mohammad Nasir Man.
Laksamana Pertama Maritim Mohd Rizal berkata, fasa awal melibatkan pemasangan blok 107, 108, 207 dan 208 yang membentuk bahagian tengah kapal.
“Tradisi Keel Laying ini menjadi simbol bermulanya pembinaan sebuah aset strategik negara,” katanya dalam satu kenyataan.
MPMS berukuran 99 meter panjang dan 17 meter lebar, direka beroperasi di laut dalam sehingga 28 hari tanpa ulang bekal.
Kapal berkenaan bakal melaksanakan pengawasan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan kawasan yang tidak dapat dicapai kapal kecil.
"Aset ini akan dilengkapi teknologi pertahanan canggih termasuk kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), meriam 30mm, radar X dan S band, tapak pendaratan helikopter, Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) serta empat bot Fast Interceptor Craft.
MPMS mampu bergerak pada kelajuan 20 knot dan menempatkan 70 anak kapal bersama 20 penumpang, selain mempunyai bilik rawatan dan bilik tahanan,” tambahnya.
Projek ini mendapat kerjasama syarikat pertahanan Turkiye seperti ASELSAN dan HAVELSAN bagi integrasi sistem persenjataan, elektronik dan komunikasi canggih.
Pengerusi DESAN Kaptanoğlu Shipyard, Cenk İsmail Kaptanoğlu berkata, pencapaian ke tahap Keel Laying dalam tempoh singkat selepas kontrak dimeterai 20 Mei lalu membuktikan komitmen semua pihak.
“Blok keluli ini bukan sahaja menjadi tulang belakang MPMS, malah simbol hubungan strategik Turkiye–Malaysia.
Kami yakin ia dapat diserahkan lebih awal daripada jadual pada Mac 2027,” katanya.
Apabila siap, MPMS bakal menjadi aset utama Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara, membanteras jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan aktiviti perikanan haram di laut.