fb fb fb fb fb

Kanak-kanak kritikal akibat dadah kembali sedar

KOTA BHARU, 22 Jun- Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang kritikal berikutan terdapat kandungan dadah dalam badannya kini telah sedarkan diri dan mampu bernafas seperti biasa tanpa bantuan mesin.

Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, kanak-kanak itu telah pun kembali normal dan mampu memberi tindak balas seperti biasa.

Beliau berkata, mangsa akan dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dalam masa terdekat bergantung kepada perkembangan kanak-kanak itu.

Tambahnya, pertukaran tempat rawatan itu adalah kerana ia lebih dekat dengan rumah keluarganya sekali gus memudahkan urusan penjagaan.

“Hari ini Alhamdulillah mengikut pihak hospital, kanak-kanak itu telah pun mula memberi respon, dah bernafas dengan normal tida ada lagi menggunkan bantuan oksigen dan kita berharap dia akan semakin pulih.

"Saya difahamkan dia akan dipindah ke Hospital Kuala Krai sebagai pesakit biasa dan mungkin memudahkan keluarganya untuk memantau dan melawat,"kata Muhammad Zaki.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang mengurniakan sumbangan kepada ibu mangsa, Rohaya Hasan di Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Kota Bharu.

Turut hadir, Pemangku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kelantan, Datin Suzana Yashin.

Mengulas lanjut, Datuk Muhammad Zaki berkata, kurniaan tersebut merupakan tanda prihatin dan simpati Raja Perempuan Tengku Anis terhadap ibu kanak-kanak itu.

Sementara itu, Rohaya akui sedikit lega selepas melihat anaknya sudah kembali ceria dan boleh makan seperti biasa.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kritikal selepas dikesan terdapat dadah jenis methampethamine dalam badannya.

Susulan itu, seorang buruh yang juga bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan direman hingga 26 Jun ini.


(Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun)

Media Baharu