fb fb fb fb fb

Kajian hak keamanan kukuh peranan Malaysia dalam AICHR

Wakil Malaysia ke AICHR merangkap Pengerusi AICHR 2025, Datuk Edmund Bon Tai Soon / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Malaysia terus menunjukkan kepimpinan dalam memperkukuh agenda hak asasi dan keamanan serantau apabila Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) melancarkan Kajian Tematik mengenai Hak untuk Keamanan, pada Selasa.

Pelancaran kajian berkenaan yang disifatkan sebagai pencapaian penting dalam usaha ASEAN menerapkan pendekatan berasaskan hak asasi manusia dalam dasar keamanan, turut mencerminkan komitmen rantau ini terhadap Visi Komuniti ASEAN 2025.

Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata, kajian itu menyediakan syor dasar penting bagi menyokong inisiatif ASEAN dalam menghormati hak asasi dan melaksanakan amalan yang menjamin keamanan serta keselamatan serantau.

Kajian berkenaan turut menggariskan bahawa hak untuk keamanan adalah hak asasi yang fundamental, penting untuk pembangunan mampan, pemeliharaan maruah manusia serta penikmatan hak-hak asasi yang lain.

Wakil Malaysia ke AICHR merangkap Pengerusi AICHR 2025, Datuk Edmund Bon Tai Soon, berkata kajian itu merupakan pemangkin kepada tindakan konkrit ASEAN dalam menangani cabaran konflik serantau dan antarabangsa secara menyeluruh.

“Kajian tematik ini amat penting kerana masih banyak isu dan konflik serantau yang berlaku di ASEAN dan juga di peringkat global.

"Kita melihat isu di luar rantau seperti Gaza, dan dalam rantau kita sendiri masih terdapat konflik situasi yang sedang berlaku dan ASEAN sedang berusaha untuk menangani serta memperbaiki keadaan,” katanya.

Selaras dengan pelancaran itu, AICHR akan menganjurkan Program Latihan Serantau mengenai Hak Asasi Manusia bermula 2 Julai, melibatkan enam siri bengkel latihan bagi membina keupayaan pegawai ASEAN dalam pencegahan konflik dan promosi keamanan mampan.

Program berkenaan bertajuk “Bengkel mengenai Persilangan Antara Konflik dan Hak Asasi Manusia: Laluan dan Pendekatan Keamanan di ASEAN” bertujuan memperkukuh keupayaan kolektif ASEAN dalam melaksanakan strategi membina keamanan secara proaktif dan inklusif.

Kedua-dua inisiatif ini memperkukuh peranan Malaysia selaku Pengerusi AICHR dan ASEAN 2025, sekali gus menyokong agenda keterangkuman, kelestarian, serta matlamat membentuk Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, aktif dan berpaksikan rakyat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD