fb fb fb fb fb

Kadar upah 'rider': Kerajaan belum buat sebarang keputusan - Fahmi

Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Januari - Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berhubung kadar upah baharu yang ditetapkan kepada penunggang p-hailing baru-baru ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun, Fahmi memberi penekanan kepada semua syarikat p-hailing agar tidak mengabaikan kebajikan dan keselamatan sosial para pekerja p-hailing.

Ini kerana katanya, pekerja p-hailing menyumbang kepada perkembangan sektor ekonomi GIG di negara ini.

"Dari satu sudut, jalan tengah yang telah kita pilih adalah mengumpulkan pelbagai pihak untuk duduk berbincang, mencari jalan penyelesaian bersama.

"Tapi, (pada) masa yang sama ada beberapa perkara yang kita tegaskan termasuk aspek keselamatan sosial bagi para pekerja.

"Tapi pada waktu ini kerajaan tidak mencampuri urusan tersebut secara langsung. Kita mengambil pendirian untuk adakan perbincangan tapi keputusan itu adalah pada pihak penyedia perkhidmatan.

"Sekiranya ada syarikat lain yang mungkin boleh menyediakan kadar upah yang lebih tinggi, maka itu memberi peluang kepada para 'riders' (penghantar) membuat pilihan (sama ada) untuk pergi kepada syarikat tersebut," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pakej P-hailing Rahmah di Angkasapuri, Kota Media di sini hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sebuah syarikat penyelia Grab yang menurunkan kadar upah baharu secara drastik.

Sebelum ini media melaporkan persatuan penghantar makanan menggesa kerajaan bertindak tegas bagi menangani isu berkaitan kadar upah.

Sementara itu, Grabfood Malaysia menolak dakwaan pihak mereka menurunkan kadar upah, sebaliknya syarikat itu menyelaraskan bayaran asas dan menaikkan elaun serta insentif kepada penunggang.

Grab berkata akan menaikkan bonus pengambilan jarak jauh sebanyak 20 hingga 30 peratus.

Rakan kongsi juga akan diberi pampasan yang lebih baik untuk perkhidmatan mereka ketika tempoh permintaan tinggi dengan penekanan yang lebih pada Tambang Puncak, Bonus Prestasi dan Bonus Mingguan.

GRACE AISYAH KEDAYAN