KOTA BHARU, 13 Mei- Kerajaan bersetuju landasan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dipanjangkan kepada 400 meter sebagai persediaan untuk menjadi lapangan terbang antarabangsa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu telah dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet, Rabu lepas dan telah dipersetujui secara prinsip.
"Kabinet setuju memanjangkan landasan LTSIP kepada 400 meter lagi untuk dijadikan sebagai lapangan terbang antarabangsa dan ia tidak perlu melalui proses tender kerana menjadi sebahagian daripada projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP yang telah memasuki fasa kedua.
"Kita juga akan berbincang dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi projek ini dan yakin ia dapat dilakukan dengan baik serta cepat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Loke berkata rundingan dengan kontraktor terlibat berkaitan proses selanjutnya dari segi teknikal, harga serta keselamatan yang dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan sebelum pembinaan landasan dijalankan.
Menurutnya, projek pembesaran dan naik taraf LTSIP itu bakal meningkatkan lagi ekonomi dan pelancongan negeri Kelantan.
Terdahulu, Loke memaklumkan kerajaan mengalu-alukan syarikat penerbangan memulakan operasi penerbangan antarabangsa di LTSIP.
Menurutnya, syarikat penerbangan perlu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk tujuan itu.
Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM440 juta untuk menaiktaraf LTSIP melibatkan dua fasa.
Fasa pertama telah siap dan mula beroperasi pada 1 Mei lepas, manakala fasa kedua sudah dimulakan dan dijangka siap Januari 2025.