
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Junior Innovathon 2026 memperkenalkan kategori baharu bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), sekali gus membuka peluang lebih luas kepada golongan itu untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti dalam bidang inovasi.
- Pengarah Ithnin Mahadi menegaskan kategori khas MBPK diwujudkan supaya semua murid berpeluang menyertai pertandingan.
- Format penyertaan baru: peserta perlu hantar slaid dan rakaman video untuk memperkukuh kemahiran digital murid.
- Terbuka kepada murid sekolah rendah dan menengah berumur tujuh hingga 17 tahun yang merupakan warganegara Malaysia.
- Penyertaan dibuka sehingga 10 Ogos; setiap pasukan dianggotai seorang guru pembimbing dan tiga murid.
Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan, Ithnin Mahadi berkata kategori baharu tersebut diwujudkan bagi memastikan semua murid berpeluang menyertai pertandingan berkenaan.
“Tahun ini, kita buka satu lagi kategori khas untuk murid Berkeperluan Pendidikan Khas. Jangan sangka anak-anak istimewa ini tidak berbakat, mereka sebenarnya sangat berbakat. Jadi, peluang ini terbuka luas untuk semua anak-anak kita di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.
Pertandingan itu turut menampilkan format penyertaan baharu apabila peserta perlu menghantar pembentangan dalam bentuk slaid serta rakaman video bagi memperkukuh kemahiran digital murid.
Pertandingan itu terbuka kepada murid sekolah rendah dan menengah berusia tujuh hingga 17 tahun yang merupakan warganegara Malaysia.
Penyertaan Junior Innovathon 2026 masih dibuka sehingga 10 Ogos, dengan setiap pasukan dianggotai seorang guru pembimbing dan tiga murid.