
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) 2025-2030 bakal menjadi hala tuju pembangunan wakaf negara yang lebih tersusun, mampan dan berimpak menerusi pelaksanaan empat teras strategik.
- PIWN telah dibentangkan kepada semua Majlis Agama Islam Negeri dan mendapat sokongan penuh; akan dimaklumkan dalam MKI dan Jemaah Menteri tahun ini.
- Empat teras utama: transformasi institusi wakaf; pemerkasaan perundangan; penambahan sumber pendapatan dan pembiayaan; peningkatan kesedaran serta pembudayaan wakaf.
- Yayasan Waqaf Malaysia telah mengagihkan RM4.38 juta untuk melaksanakan 92 projek Wakaf Air di seluruh negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata meskipun PIWN belum dilancarkan secara rasmi, pelan berkenaan telah dibentangkan kepada semua Majlis Agama Islam Negeri dan mendapat sokongan penuh.
“PIWN akan dibentangkan untuk pemakluman dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Jemaah Menteri pada tahun ini.
“Saya juga ingin berkongsi bahawa terdapat empat teras utama dalam PIWN, iaitu yang pertama, transformasi institusi berkaitan wakaf; kedua, memperkasakan perundangan wakaf; ketiga, menambah sumber pendapatan dan pembiayaan wakaf; dan keempat, meningkatkan kesedaran serta pembudayaan wakaf”, katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Baharuddin Ahmad di Dewan Negara hari ini.
Mengulas mengenai impak produk wakaf di bawah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), beliau memaklumkan sebanyak RM4.38 juta telah diagihkan bagi melaksanakan 92 projek Wakaf Air di seluruh negara.