fb fb fb fb fb

Jualan Rahmah MADANI diperluas ke pasar awam bermula Oktober

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (tiga kiri) meninjau barangan keperluan pada Program Jualan Rahmah Madani Mega Negeri Terengganu 2024 / Foto Bernama

KUALA TERENGGANU, 20 September – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluas pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) melalui pendekatan baharu iaitu di pasar awam secara bersasar, bermula bulan depan.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif PJRM@Pasar tersebut bertujuan memperluaskan akses kepada pengguna, bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada program tersebut.

Katanya, pemilihan lokasi akan dibuat berdasarkan beberapa faktor utama.

"Pertama, kita melihat kepada pergerakan harga barang, khususnya kenaikan harga. Kedua, apabila berlaku gangguan bekalan seperti disebabkan faktor cuaca, dan ketiga, kawasan yang terkesan dengan harga barang tinggi akibat kos logistik. Faktor-faktor ini menjadi pertimbangan untuk melaksanakan PJRM@Pasar secara bersasar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Rahmah MADANI Mega Negeri Terengganu di Kampung Losong Panglima Perang, di sini hari ini.

Pelaksanaan PJRM@Pasar ini merupakan tambahan kepada tiga kaedah sedia ada, iaitu PJRM dalam premis, luar premis, dan bergerak.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN