fb fb fb fb fb

JPJ Pahang pantau lokasi panas di 13 laluan

KUANTAN, 27 April - Lebih 13 laluan di negeri Pahang yang dikenal pasti sebagai lokasi panas akan dipantau penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2022.

Operasi bermula pada 29 April hingga 8 Mei itu bertujuan memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas dan keselesaan pengguna jalan raya dengan lebih selamat.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, seramai 325 anggota JPJ negeri Pahang terlibat dalam penguatkuasaan dan rondaan di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan dan kesesakan.

Antara lokasi itu ialah Lebuh Raya Pantai Timur 1, Jalan Kuantan-Kemaman, Kuantan-Gambang, Kuantan - Pekan dan Jalan lama Kuantan-Temerloh-Karak.

Selain itu, Jalan Bukit Ibam- Muadzam Shah-Rompin, Jalan Bahau - Keratong dan Jalan Kuantan - Segamat.

"Anggota kita akan bersiap sedia di lokasi-lokasi panas yang kita telah kenal pasti dan juga kita akan buat rondaan di lokasi hitam untuk mengurangkan kadar kemalangan," kata beliau kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan bas di Terminal Sentral Kuantan, di sini.


(Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin bersama anggota JPJ dan polis trafik
melakukan pemeriksaan bas di Terminal Sentral Kuantan) 

Selain itu, Kamarul Iskandar berkata anggota JPJ turut melaksanakan pemeriksaan bas di depoh, lebuh raya dan jalan utama sepanjang operasi terbabit.

Tambah beliau, pemeriksaan bas dilakukan di tujuh depoh di Terminal Sentral Kuantan, Terminal Temerloh dan Terminal Genting.

Pemeriksaan teknikal dilakukan dari segi brek, enjin, pengudaraan dan pendawaian sama ada berfungsi dengan baik atau tidak.

Bilik Kawalan juga beroperasi selama 16 jam bermula 8 pagi sehingga 12 tengah malam dan sepanjang 24 jam ketika tempoh larangan pemanduan kenderaan berat.

Media Baharu