JPJ Melaka perketat penguatkuasaan, kenal pasti 10 lokasi kemalangan

Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri 2026 di Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah

ALOR GAJAH, 17 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengenal pasti 10 lokasi berisiko tinggi kemalangan sebagai fokus utama dalam Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) selain mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa lokasi berisiko tinggi dikenal pasti di Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin sebagai tumpuan keselamatan jalan raya.
  • Lokasi berbahaya termasuk Lebuh AMJ, Jalan Alor Gajah-Tampin, Jalan Masjid Tanah, Bukit Sedanan, Jalan Banda Hilir dan Klebang.
  • Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri JPJ Melaka dilaksanakan 16 hingga 29 Mac, diumumkan semasa Program Kempen Keselamatan Jalan Raya.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, antara lokasi dikenal pasti adalah lima lokasi di Melaka Tengah, tiga lokasi di Jasin manakala Alor Gajah pula dua lokasi.

“Antara lokasi berbahaya di Alor Gajah ialah di Lebuh AMJ, selain Jalan Alor Gajah–Tampin, Jalan Masjid Tanah dan Bukit Sedanan.

“Bagi kawasan Melaka Tengah pula melibatkan Jalan Banda Hilir, Klebang serta Sungai Udang, manakala di Jasin pula tertumpu di Gapam, Bemban, Merlimau, Jasin dan Tehel. Semua ini dikenal pasti sebagai lokasi hotspot kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri 2026 di Plaza Tol Simpang Ampat, di sini.

Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Melaka bermula 16 hingga 29 Mac ini.