
PUTRAJAYA, 3 April – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan langkah penjimatan tenaga secara serta-merta selaras usaha kerajaan menangani krisis tenaga global yang sedang dihadapi negara.
- Pelaksanaan dasar BDR di peringkat JPJ bermula 15 April; perincian pelaksanaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
- JPJ tingkatkan suhu pendingin hawa dan kurangkan penggunaan lampu sehingga 50 peratus di ruang bukan kaunter bagi menjimatkan elektrik.
- Pemakaian baju korporat atau batik dibenarkan sepanjang waktu kerja untuk mengurangkan kebergantungan kepada penghawa dingin.
- Menggalakkan urusan secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ dan portal rasmi untuk perkhidmatan pantas, mudah dan mesra rakyat.
Langkah itu turut selari dengan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi perkhidmatan awam seperti yang digariskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang akan mula dikuatkuasakan di jabatan itu bermula 15 April ini.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, perincian lanjut mengenai pelaksanaan BDR di peringkat jabatan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“JPJ turut memperkenalkan beberapa inisiatif penjimatan tenaga di semua pejabat JPJ seluruh negara, antaranya meningkatkan suhu pendingin hawa di premis pejabat bagi mengurangkan penggunaan elektrik, mengurangkan penggunaan lampu sehingga 50 peratus di ruang pejabat yang tidak melibatkan kaunter perkhidmatan awam, membenarkan pemakaian baju korporat atau batik sepanjang waktu bekerja bagi mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan penghawa dingin,” jelasnya pada sidang media Majlis Perhimpunan Setia JPJ di Putrajaya.
Dalam masa sama, JPJ akan terus mempergiat usaha pendigitalan perkhidmatan dengan menggalakkan orang awam melaksanakan sebarang urusan secara dalam talian menerusi aplikasi MyJPJ dan portal rasmi jabatan bagi transaksi yang tidak memerlukan kehadiran ke kaunter.
Jelas beliau, pendekatan itu bukan sahaja menyokong agenda penjimatan tenaga negara, malah memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mudah dan mesra rakyat.
Sementara itu saranan kerajaan agar kakitangan penjawat awam memakai pakaian yang lebih sesuai dan selesa dengan iklim tempatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penyejukan berlebihan, disambut baik.
Rata-rata penjawat awam berpandangan, langkah itu bukan sahaja selari dengan usaha penjimatan tenaga, malah memberi keselesaan kepada mereka yang menjalankan tugas.
Bagi Haliazna Shamsuddin, saranan tersebut membolehkan penjawat awam bekerja dengan lebih selesa dan tidak perlu mengambil masa yang lama untuk bersiap.
“Sebagai seorang penjawat awam saya menyahut saranan yang disarankan oleh kerajaan bagi penjawat awam untuk memakai pakaian kasual dan benda tu sebenarnya menyenangkan kami di pihak penjawat awam supaya macam kita kata pagi-pagi tak perlu gosok baju, tudung. so pakai kasual sangat memberi impak besar pada kami untuk menjalankan tugas lebih baik,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penjawat awam, Yang Maisarah Bustaman menganggap saranan tersebut bertepatan dengan masa dan keadaan ketika cuaca panas melanda negara.
“Kami sebagai penjawat awam amat berterima kasih atas keprihatinan pihak tertinggi kerajaan kerana pada kami dalam keadaan sekarang amat berpatutanlah dengan saranan tersebut kerana dalam keadaan cuaca dan juga mempelbagaikan pakaian batik dan korporat itu,” katanya kepada RTM.
Juliana Sallabudin pula berpandangan, pemakaian baju korporat memberi keselesaan kepada mereka.
“Selesa dan sangat bagus apa yang dimaklumkan dan diterangkan sebab ia menjadikan kita lebih selesa untuk datang bekerja dan amat memudahkan. Kita tidak perlu lagi menggosok pakaian. Seperti kami di sini sebagai kakitangan JPJ, selalunya pemakaian uniform amat dititik beratkan. Jadi kini lebih mudah dan santai. Pemakaian baju korporat lebih selesa terutama kepada golongan wanita,” katanya.