KUALA LUMPUR, 6 Julai – Tindakan tegas penggantungan lesen serta merta akan dikenakan terhadap pemandu kenderaan perdagangan yang terlibat kemalangan jalan raya hingga siasatan selesai.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangukatan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penggantungan akan dikuatkuasakan meskipun kes masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli - Foto JPJ
Tegasnya, tindakan itu selaras usaha mempertingkat keselamatan pengguna jalan raya dan memperkukuh pemantauan terhadap pemegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL)
"Selepas ini kita akan gantung lesen PSV serta merta mana-mana pemandu bas dan lori yang terlibat dengan kemalangan.
"Sekiranya individu itu didapati bersalah atau dikeluarkan notis pelanggaran peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, lesen mereka turut akan dibatalkan," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 di sini, hari ini.
Datuk Aedy Fadly (tengah) menyempurnakan Majlis Penyerahan MyLesen B2 - Foto BERNAMA
Menurutnya, tindakan itu sudah mula dilaksanakan dengan lima pemandu digantung lesen setakat ini.
Ini termasuk pemandu lori yang terlibat dalam nahas membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang berlaku di Perak Mei lalu dan pemandu bas yang melanggar had penghadang ketinggian di Nilai, Negeri Sembilan semalam.
Beliau berharap dengan tindakan tegas itu, pemandu kenderaan perdagangan akan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan memandu dengan berhemah serta mementingkan keselamatan pengguna jalan raya lain.