
JOHOR BAHRU, 13 September – Kerajaan Negeri Johor meluluskan geran tahunan sebanyak RM150,000, bagi menyokong gerakan seni warisan Gendang 24 Perayaan.
- RM100,000 diperuntukkan kepada Persatuan Gendang 24 Perayaan Malaysia.
- RM50,000 diagihkan kepada Pasukan Gendang 24 Perayaan SMK Foon Yew, Johor Bahru.
- Kerajaan negeri merancang memperluas persembahan kebudayaan di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar selaras visi Johor maju 2030.
Sekali gus membantu memelihara, memperkasa, dan mengekalkan keaslian seni persembahan tradisional agar terus berkembang.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM100,000 diperuntukkan kepada Persatuan Gendang 24 Perayaan Malaysia.
Manakala RM50,000 lagi, akan diagihkan kepada Pasukan Gendang 24 Perayaan Sekolah Menengah Kebangsaan Foon Yew, Johor Bahru.
“Apabila kita bercakap mengenai kemajuan atau pembangunan, ia bukan hanya berkaitan aspek ekonomi. Lebih penting daripada itu, kita juga perlu memastikan budaya kita terus dipelihara.
“Sebagai contoh, di Singapura, ketika negara itu berkembang dan membangun, mereka sentiasa memastikan warisan serta budaya terus dipelihara. Saya fikir rakyat Johor juga perlu melakukan perkara yang sama,” katanya ketika berucap dalam Festival Antarabangsa Gendang 24 Perayaan di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, di sini.
Tambahnya, kerajaan negeri juga turut merancang memperluas persembahan kebudayaan di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, termasuk melalui persembahan 24 Festive Drums secara berkala.
Inisiatif itu selaras dengan visi Johor untuk menjadi negeri maju menjelang 2030, selain memastikan identiti budaya Bangsa Johor terus dipelihara.