fb fb fb fb fb

Johor rekod FDI RM20 bilion dua bulan pertama tahun ini

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 19 Mac- Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang direkodkan Johor pada dua bulan pertama tahun ini, melebihi jumlah FDI direkodkan sepanjang sembilan bulan, tahun lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebanyak RM20 bilion direkodkan pada Januari hingga Februari tahun ini, berbanding RM18 bilion pada Januari hingga September 2024.

Perkembangan positif itu adalah hasil usaha pihaknya bersama agensi-agensi berkaitan, membawa masuk pelaburan asing ke selatan tanah air.

Selain itu, jumlah hasil negeri pada Januari hingga Mac tahun ini, juga meningkat kepada RM520 juta, berbanding RM400 juta yang direkodkan dalam tempoh sama, pada tahun lalu.

"Peningkatan sebanyak 30 peratus dan kami rakan-rakan exco berpakat, insya-Allah setiap sen pada akhir tahun yang lebihan itu, kita akan pastikan ia turun kembali kepada rakyat dan bangsa Johor", katanya.

Dalam pada itu, Datuk Onn Hafiz memberitahu, usaha dijalankan untuk mempermudah urusan pengembara Singapura memasuki negara, telah memanfaatkan peniaga-peniaga di Simpang Renggam, Kluang.

Ia secara tidak langsung, menepis dakwaan segelintir pihak, bahawa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, hanya akan memanfaatkan Johor Bahru.

Beliau berucap demikian semasa Majlis Berbuka Puasa bersama media di Saujana, Johor Bahru.

ROSLINA BINTI DIN