TUMPAT, 18 Januari- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan 99 notis kesalahan terhadap pengendali premis makanan di daerah ini dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih, semalam.
Operasi dilakukan ke atas 59 premis membabitkan kedai makan, restoran dan kilang makanan yang menjadi tumpuan orang ramai di sekitar Tumpat.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata hasil operasi yang dijalankan 80 kakitangan JKNK itu, lapan premis diarahkan menutup operasi selama 14 hari berikutan kegagalan mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.
Jelasnya, penutupan operasi tertakluk bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan mana-mana pemilik premis makanan yang tidak mematuhi perintah penutupan premis makanan dianggap melakukan kesalahan dan boleh dikenakan penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
"Daripada 99 notis yang dikeluarkan, 80 adalah bawah Peraturan 32 iaitu berkaitan pakaian pengendali makanan.
Sebanyak 10 notis lagi di bawah Peraturan 33 iaitu berhubungan dengan kebersihan pengendali makanan, selain enam notis dikeluarkan atas kesalahan tidak mematuhi kehendak yang berhubungan dengan tugas am, pemilik atau penghuni premis makanan di bawah Peraturan 11," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah Dr Zaini, dua lagi notis dikeluarkan adalah mengikut Peraturan 8 iaitu tidak mempamerkan Perakuan Pendaftaran di premis makanan dan selebihnya berhubung kewajipan mengekalkan premis dalam keadaan bersih di bawah Peraturan 34.
Ujarnya, kompaun bagi semua notis boleh dibayar dalam masa sebulan dari tarikh notis dikeluarkan.