Jerebu: Sultan Pahang nasihat rakyat jaga kesihatan, ambil langkah berjaga-jaga

Foto Fail BERNAMA

KUANTAN, 25 Ogos – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat supaya sentiasa menjaga kesihatan dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu yang dilaporkan semakin buruk di beberapa kawasan, khususnya di Kuala Lumpur.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nasihat memakai pelitup muka dan kurangkan aktiviti luar, khususnya bagi kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung dan pesakit pernafasan.
  • Sentiasa peka terhadap tahap kualiti udara dan dapatkan rawatan segera jika mengalami masalah kesihatan berkaitan jerebu.
  • Utamakan keselamatan keluarga: minum air secukupnya, kurangkan pendedahan kepada udara tercemar dan patuhi nasihat pihak berkuasa.

Al-Sultan Abdullah menasihatkan kepada orang ramai, terutamanya kanak-kanak, warga emas, ibu mengandung serta individu yang mempunyai masalah kesihatan untuk memakai pelitup muka ketika berada di luar dan mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.

Baginda bertitah rakyat di negeri Pahang juga perlu sentiasa peka terhadap tahap kualiti udara semasa dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami masalah kesihatan akibat jerebu.

“Kesihatan dan keselamatan rakyat hendaklah sentiasa diberi keutamaan. Ambillah langkah pencegahan yang sewajarnya termasuk memakai pelitup muka, minum air secukupnya dan mengurangkan pendedahan kepada udara yang tercemar,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang.

Al-Sultan Abdullah berharap seluruh rakyat sentiasa menjaga kesihatan diri, mengutamakan kesejahteraan keluarga serta mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.