fb fb fb fb fb

Jenazah tiga mahasiswa UiTM Dungun dibawa pulang untuk dikebumi

FOTO RTM

DUNGUN, 10 Oktober- Jenazah tiga mahasiswa yang terbabit nahas kemalangan berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun kira-kira 7.20 malam semalam dibawa pulang hari ini bagi proses pengebumian.

Ia selepas kesemua jenazah dibawa ke Masjid UiTM Dungun untuk Solat Jenazah, kira-kira 10 pagi tadi

Sebelum itu, proses bedah siasat selesai dilakukan di Unit Forensik, Hospital Dungun, kira-kira 9 pagi tadi.

Tiga yang maut dikenali Muhammad Akmal Md Tukirin, Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin.

Kesemua mereka merupakan penuntut tahun dua di UiTM Dungun.

Jenazah Muhammad Akmal telah dibawa pulang ke Muar, Johor dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Batu 18 Ayer Hitam.

Manakala jenazah Khairil Anwar, akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang Selangor.

Bagi jenazah Ku Adib pula, dibawa pulang ke Sungai Buloh, Selangor.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan sebelum ini mengesahkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi nahas selepas dirempuh daripada arah belakang oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang wanita berusia 40-an disyaki tidak siuman.

Seorang lagi mangsa yang terbabit nahas sama, iaitu Ammar Danish Jamaluddin berasal Kuala Lumpur dilapor cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Dungun.

Trainee2