fb fb fb fb fb

Jenazah Sarjan Faridah selamat dikebumikan

Hasil bedah siasat pada 20 Mei lalu mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung.

POKOK SENA, 25 Mei- Jenazah anggota Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman yang meninggal dunia di Lubnan pada Sabtu lalu selamat dikebumikan di kampung halamannya.

Jenazah dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Masjid Al-Anwar, Kampung Tengah, Pokok Sena kira-kira pada pukul 10.20 pagi tadi.

Terdahulu pesawat membawa jenazah Allahyarham berusia 39 tahun itu tiba di Kolej Tentera Udara Kepala Batas, Alor Setar kira-kira pada pukul 8.10 pagi selepas diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang.

Jenazah diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga termasuk suami Allahyarham, Noor Azmi Ariffin, 39 tahun sebaik tiba di pekarangan masjid, kira-kira pada pukul 9.00 pagi tadi.

Solat jenazah kira- kira pada pukul 9.41 dipimpin oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Brigedier Jeneral Mohd Hamzah Adam.

Jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan yang terletak bersebelahan masjid tersebut dengan istiadat ketenteraan dan dikebumikan berhampiran kubur adiknya.

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohd Akmar Mohd Dom turut mengiringi jenazah serta memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Lebih 500 orang termasuk pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut hadir memenuhi pekarangan masjid dan tanah perkuburan.

Allahyarham meninggalkan empat anak iaitu Nurul Syifa (13 tahun), Muhammad Afnan (10 tahun), Nurul Jannah (7 tahun) dan Ainul Mardiah (4 tahun).

Pada 19 Mei lepas, Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan Faridah meninggal dunia pada pukul 2.25 pagi waktu Lubnan atau 7.25 pagi waktu Malaysia apabila rebah selepas turun daripada bas di Kem Marakah, sejurus tiba di Lubnan daripada bercuti selama sebulan di Malaysia.

Hasil bedah siasat pada 20 Mei lalu mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung.

Artikel Berkaitan:
Jenazah Allahyarhamah Sarjan Faridah tiba di kampung halaman
Jenazah Sarjan Faridah diterbangkan ke Kedah
Sarjan Faridah akan dikebumikan di Kampung Tengah, Tualang Pokok Sena

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM