fb fb fb fb fb

Tanah runtuh di PNG: Tiada rakyat Malaysia terlibat, negara sedia beri bantuan

FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 25 Mei - Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kepada Papua New Guinea (PNG) selepas kejadian tanah runtuh di Wilayah Enga, Papua New Guinea pada Jumaat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kebimbangan saya adalah terhadap penduduk Papua New Guinea berikutan tanah runtuh yang dahsyat yang telah meragut lebih seratus nyawa di wilayah Enga.

"Malaysia bersedia untuk memberikan bantuan kepada saudara-saudara kita di Papua New Guinea," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata usaha pihak keselamatan untuk mencari dan menyelamat mangsa adalah sukar memandangkan kawasan runtuhan di lereng bukit runtuh, kawasan pergununan terpencil dan muka bumi yang berceranggah yang menimbus sebuah kampung di kawasan pedalaman.

Agensi media melaporkan dikhuatiri lebih 100 orang terbunuh berikutan tanah runtuh di Kampung Kaokalam di Wilayah Enga, kira-kira 600 kilometer barat laut ibu negara Port Moresby, kira-kira pukul 3.00 pagi Jumaat.

Dalam pada itu Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan atau menjadi mangsa tanah runtuh tersebut.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby sedang memantau dengan rapi satu insiden tanah runtuh di Daerah Porgera-Paiela dan secara aktif menyelaraskan usaha bersama-sama pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

“Malaysia bersimpati dan mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terkesan dengan tanah runtuh itu, selain kepada rakyat dan kerajaan Papua New Guninea.

Rakyat Malaysia di kawasan berdekatan digesa supaya kekal berwaspada dan mematuhi dan mengikuti panduan dan kemas kini terkini daripada pihak berkuasa tempatan,” kataya.

Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular supaya menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di alamat Lot 16, Seksyen 531, Rosewood Executive Residence, Savankutinah Heights, Peti Surat 1400, Port Moresby, Papua New Guinea.

Suruhanjaya Tinggi juga boleh dihubungi menerusi talian +675-325 1506 / +675-325 2076 dan +675-7178 8414 (untuk kecemasan) dan e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

TETITIA YUSOFF