PENDANG, 20 Mei- Keluarga Allahyarham Sarjan Faridah Abd Rahman 39 tahun, yang meninggal dunia di Lubnan kelmarin, menerima berita pemergiannya dengan reda.
Allahyarham Sarjan Faridah merupakan Pegawai Tidak Tauliah Kanan dari Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu dalam United Nations Interim Force in Lebonan (UNIFIL).
Suami Allahyarham, Noor Azmi Ariffin, 39 tahun berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh salah seorang pegawai tentera yang datang di kediamannya di Kampung Sungai Mati, Pendang, Sabtu lalu.
Menurut Noor Azmi, dia bertemu Allahyarham isterinya kali terakhir pada Jumaat baru-baru ini, semasa menghantar isterinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk kembali bertugas ke Lubnan selepas sebulan bercuti.
"Penerbangan pada hari Jumaat pagi, terbang dan sampai dekat sana pada Sabtu. Pemakluman itu diberitahu oleh panglima bertugas, dia beritahu saya, isteri sudah meninggal.
"Dia suruh saya banyakkan bersabar. Allahyarham isteri meninggal di Lubnan. Kami menunggu maklumat daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kami reda, cuma masih menanti jenazah," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Sementara itu, ibu Allahyarham Salmah Hassan reda dengan berita pemergian anaknya itu.
"Memang reda, dia (Allahyarham) elok, sihat dan tidak ada apa-apa. Sekolah anak dia sendiri yang hantar, dia tak bagi dekat orang, waktu balik sekolah dia sendiri jemput.
"Bawa anak-anak beli barang, mainan. Allahyarham juga tidak suka ambil tahu hal orang lain, dia memang tidak mahu tahu. Dia memang baik," katanya.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah, Tualang Pokok Sena, mengikut istiadat ketenteraan, sebaik tiba dari Lubnan.
Urusan membawa pulang jenazah akan diuruskan oleh pihak Kementerian Pertahanan.
Allahyarham mula berkhidmat dalam ATM dan menyertai Tentera Darat pada 2007 dan ditugaskan dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).
Sebelum ini Allahyarham bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (MEKANIZE) di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani.
Allahyarham meninggalkan suami dan empat orang anak masing-masing berusia 4 hingga 13 tahun.