fb fb fb fb fb

JBPM sedia gerakkan 600 pegawai bomba bantuan siswa hadapi MTL

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM,  Datuk Nor Hisham Mohammad (tengah) pada Majlis Pentauliahan PBBS UTHM di sini hari ini/ BERNAMA

BATU PAHAT, 13 November- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menggerakkan kira-kira 600 Pegawai Bomba Bantuan Siswa (PBBS) bagi menyertai 24,000 pegawai dan anggota jabatan berkenaan dalam operasi ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM,  Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pegawai PBBS berkenaan akan ditugaskan bagi menghadapi situasi menyelamat ketika bencana banjir atau ribut mengikut lokasi balai bomba yang berhampiran kediaman masing-masing.

Jelasnya kesemua pegawai PBBS itu merupakan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Pegawai PBBS ini perlu mendaftarkan diri di balai bomba berhampiran terlebih dahulu bagi membolehkan mereka menyertai anggota bomba yang bertugas pada musim monsun kali ini.

“Kita amat menggalakkan penyertaan mereka, selain dapat mempraktikkan ilmu kebombaan yang ada ia juga dapat mengisi penggiliran serta menambah bilangan anggota yang bertugas,” katanya kepada pemberita  selepas Majlis Pentauliahan PBBS UTHM di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan seramai 46 pegawai PBBS UTHM menerima sijil pentauliahan masing-masing.

Nor Hisham berkata 24,000 anggota yang ditugaskan ketika musim MTL kali ini terdiri daripada 14,500 pegawai dan anggota tetap, 2,000 anggota bomba bantuan dan hampir 8,000 anggota bomba sukarela, dengan 1,150 aset diletakkan dalam keadaan siap siaga.

ZEHRA BINTI ZAMBRI