
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) akan meneliti setiap syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memperkukuh dan mempercepat pelaksanaan reformasi sektor penjagaan kesihatan swasta menerusi Strategi RESET.
- Strategi RESET inisiatif bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara untuk kawal kos, tingkatkan ketelusan, daya saing dan kemampuan sistem penjagaan kesihatan swasta.
- Pelan MHIT fasa rintis disediakan sebagai perlindungan standard lebih mampu milik bagi individu tanpa insurans atau terjejas kenaikan premium.
- Pelaksanaan DRG, pengukuhan standard data, pendigitalan dan mekanisme penyelesaian pertikaian digerakkan untuk kawal kos rawatan dan kurangkan variasi caj.
Kementerian Kewangan dalan satu kenyataan memaklumkan, JBMKKS yang dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berpandangan, cadangan dikemukakan PAC berhubung isu kenaikan premium insurans perubatan serta caj hospital swasta secara keseluruhannya selaras dengan hala tuju Strategi RESET yang sedang dilaksanakan kerajaan.
“Strategi RESET merupakan inisiatif bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia yang diperkenalkan bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta, khususnya kenaikan premium insurans dan takaful perubatan serta inflasi kos rawatan. Strategi berkenaan menggariskan lima teras utama reformasi yang merangkumi 11 inisiatif bagi mewujudkan sistem penjagaan kesihatan swasta yang lebih telus, mampan dan mampu milik,” menurut kenyataan Kementerian Kewangan hari ini.
Pelbagai inisiatif di bawah strategi itu kini menunjukkan perkembangan positif, termasuk pelan asas Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang dijangka memasuki fasa rintis menjelang penghujung Julai ini.
“Pelan berkenaan dibangunkan sebagai pilihan perlindungan kesihatan standard yang lebih mampu milik, terutama bagi individu yang tidak mempunyai perlindungan insurans atau berdepan peningkatan premium,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu, pelaksanaan sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG), iaitu mekanisme pembayaran berdasarkan diagnosis dan jenis rawatan pesakit, turut dilaksanakan secara berperingkat. Pendekatan itu dijangka membantu meningkatkan kecekapan sistem pembayaran hospital, mengawal kos rawatan serta mengurangkan variasi caj bagi perkhidmatan yang sama.
Usaha meningkatkan ketelusan harga dan mengenal pasti faktor penyumbang kepada inflasi perubatan, pengukuhan standard data kesihatan, pendigitalan sistem serta penambahbaikan mekanisme penyelesaian pertikaian antara syarikat insurans, hospital dan pengguna turut menjadi antara fokus utama reformasi berkenaan.
JBMKKS menjelaskan pendekatan yang diterajui secara bersama oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia, dengan kerjasama pemain industri serta pihak berkepentingan lain, memberi tumpuan kepada usaha mengawal peningkatan kos penjagaan kesihatan tanpa menjejaskan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan swasta yang berkualiti dan mampu milik.
Jawatankuasa itu turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pelaksanaan Strategi RESET berjalan mengikut jadual dengan matlamat menjadikan sistem penjagaan kesihatan swasta lebih telus, berdaya saing dan mampan, sekali gus mengurangkan beban kewangan yang ditanggung rakyat akibat peningkatan kos rawatan.
Perkembangan terkini mengenai pelaksanaan inisiatif berkenaan dijangka diumumkan selepas mesyuarat JBMKKS yang dijadual berlangsung pada Julai ini.
Sebelum ini, PAC mengemukakan beberapa syor bagi menangani kenaikan premium insurans kesihatan dan kos rawatan hospital swasta, termasuk mempercepat pelaksanaan pembaharuan struktur, meningkatkan ketelusan caj perubatan serta memperkukuh perlindungan pengguna dalam ekosistem penjagaan kesihatan swasta.