fb fb fb fb fb

Jaringan menyeluruh organisasi media Asia Tenggara perlu diwujudkan - Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-25 Asia News Network (ANN) di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR, 6 September- Jaringan yang lebih menyeluruh dalam kalangan organisasi media di rantau Asia Tenggara boleh diwujudkan bagi meningkatkan kolaborasi antara organisasi media di negara ASEAN.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu berupaya menjadi platform interaksi dan perkongsian laporan antara pengamal media dari rantau tersebut.

Beliau berkata ia sekali gus, memperkukuh hubungan Malaysia dengan rakan rantau khususnya menjelang kepengerusian ASEAN tahun depan.

“Malaysia dapat memainkan peranan sebagai tuan rumah untuk mengumpulkan organisasi media dari rantau Asia Tenggara, dan berkolaborasi dengan lebih rapat. Harapan saya juga tahun hadapan kita akan dapat satu jaringan yang lebih lebih padu dalam kalangan organisasi media dari rantau Asia Tenggara,

"Saya percaya platform organisasi media seperti RTM dalam perancangan untuk mewujudkan satu rangkaian baharu berkenaan ASEAN 2025," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-25 Asia News Network (ANN) di sini, hari ini.

Sementara itu, Fahmi berkata sambutan ulang tahun ke-25 ANN diharap dapat memberi ruang kepada organisasi media di dalamnya untuk menerbitkan lebih banyak berita perkembangan di seluruh Asia agar pembaca boleh menikmati berita yang ditulis sendiri oleh media di rantau itu dan bukannya oleh media asing.

“Ini penting kerana untuk kita memahami sesama jiran dalam Asia, ada kewajaran agar organisasi media saling berhubung dan menghantar berita sesama mereka untuk dipaparkan di akhbar atau laman web media masing-masing.

“Dengan cara itu, saya percaya kita akan dapat mendengar suara yang asli dan benar dari negara Asia itu sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain mengenai jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS bulan depan, beliau berkata ia merupakan satu perkembangan positif.

Ujarnya walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang tidak berpihak dengan mana-mana negara, namun ia juga berhak untuk mengadakan hubungan bukan hanya dari segi diplomatik, tetapi juga ekonomi.

"Ia adalah satu perkembangan sihat dan positif dan kita harap akan dapat membuahkan pulangan. Berkenaan BRICS itu sendiri, ada peluang cukup baik.. sekiranya kita boleh melihat kemampuan dari segi ekonomi untuk meningkatkan hubungan perdagangan dua hala atau pelbagai hala, ia merupakan satu net positif untuk Malaysia,” katanya.

Semalam, Anwar semasa ucapannya pada sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 di Vladivostok, Rusia menzahirkan rasa terima kasih kepada Putin kerana menjemput beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia.

BRICS ialah blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009, merangkumi Brazil, Rusia, India serta China dan disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI