fb fb fb fb fb

Jangan politikkan kenaikan gaji penjawat awam - CUEPACS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 3 Mei- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kepada semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu kebajikan penjawat awam yang memberikan kebaikan kepada perkhidmatan awam.

Cuepacs dalam satu kenyataan berkata, perkara itu mula dipolitikkan sehingga timbulnya idea untuk menggagalkan hasrat kerajaan ini melalui penolakan sokongan di Parlimen.

"Kenyataan seorang ahli politik baru-baru ini amatlah mengecewakan para penjawat awam yang telah lama menantikan pelarasan semula skim gaji supaya mampu menampungi peningkatan kos sara hidup semasa.

"Dalam hal ini cuepacs amat konsisten untuk meneruskan perjuangan agar isu kenaikan gaji seperti yg telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dapat disokong sepenuhnya oleh semua pihak sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang," katanya dalam kenyataan itu.

Pada masa sama CUEPACS juga berharap agar emosi politik tidak menguasai keputusan yang tidak memberikan sifat ihsan kepada kebajikan penjawat awam selain mengaitkan perkara itu dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Bagaimanapun CUEPACS amat konsisten untuk meneruskan perjuangan agar isu kenaikan gaji seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam ucapan pada 1 Mei sempena Hari Pekerja.

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa penstrukturan semula gaji penjawat awam melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dilakukan ketika ini akan dilaksanakan pada 1 Disember depan.

Hasil akhir daripada Kajian SSPA itu akan dibentangkan untuk kelulusan melalui Belanjawan 2025 pada Oktober hadapan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI