fb fb fb fb fb

'Jangan persoal isu berkaitan LRT' - Chow Kon Yeow

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

GEORGETOWN, 1 April - Kerajaan Pulau Pinang mengingatkan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak mempersoalkan isu berkaitan Transit Aliran Ringan (LRT), kerana projek itu telah menerima lebih 90 peratus sokongan dan secara rasmi diambil alih Kerajaan Persekutuan daripada Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan diminta melihat manfaat projek itu khususnya daripada segi manfaat jangka panjang dan sosioekonomi kepada rakyat.

"Saya berharap NGO yang masih membantah dapat melihat secara keseluruhannya, projek ini disokong oleh kebanyakan rakyat jelata dalam sesi libat urus kita peroleh sokongan melebihi 90 peratus.

"Dan apa-apa pandangan sudah pun diambil kira dan ini adalah masa untuk melihat pelaksanaan sekiranya ada apa isu-isu berkaitan pelaksanaan ia dapat diuruskan oleh syarikat syarikat yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja sedemikian," kata Chow Kon Yeow kepada pemberita selepas perasmian Aspen-Klippa Penang Bridge International Marathon 2024 di Komtar.

Katanya, kerajaan telah melalui pelbagai proses dan sesi libat urus melibatkan orang ramai serta NGO serta mengambil kira ke semua faktor sebelum diluluskan.

Terdahulu beberapa NGO alam sekitar termasuk Sahabat Alam Malaysia (SAM) pernah meminta kerajaan mengkaji semula cadangan pembinaan LRT di negeri itu kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

TETITIA YUSOFF