
PONTIAN, 12 April – Jambatan Sungai Pulai di sini disahkan selamat digunakan kepada pengguna, susulan tinjauan yang dijalankan Jabatan Keraja Raya (JKR) negeri bersama Pejabat Daerah serta pihak pemaju, Seaport Worldwide.
- Timbalan Menteri Ahmad Maslan menegaskan dakwaan jambatan mengalami mendapan tidak tepat.
- Mendapan hanya melibatkan 10 lokasi di laluan jalan berhampiran; pemaju akan membaikinya segera.
- Laluan Benut ke Simpang Renggam dan Air Baloi ke Sedenak pulih selepas pembaikan sesuai untuk kawasan tanah gambut.
- Pemaju diarahkan lakukan kerja pembaikan secara pantas dan siapkan dalam tahun ini; penutupan hanya sebahagian jalan bagi memastikan trafik lancar.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan turut memaklumkan bahawa dakwaan kononnya jambatan itu mengalami mendapan adalah tidak tepat.
Sebaliknya, mendapan tersebut hanya melibatkan 10 lokasi di laluan jalan berhampiran dan akan dibaiki segera oleh pihak pemaju.
“Sebelum ini memang berlaku mendapan dan situasi hampir sama, namun kerja-kerja pembaikan telah dilaksanakan.
“Kini, kedua-dua laluan yang dimaksudkan iaitu dari Benut ke Simpang Renggam serta dari Air Baloi ke Sedenak telah pulih selepas kaedah pembaikan yang sesuai digunakan, khususnya bagi kawasan tanah gambut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM selepas meninjau Jambatan Sungai Pulai di sini bersama JKR negeri, Pejabat Daerah serta pihak pemaju, Seaport Worldwide.
Dalam pada itu pemaju turut diarahkan melaksanakan kerja pembaikan secara kaedah pantas (fast track) dan disiapkan dalam tahun ini.
Sepanjang tempoh pembaikan, laluan tersebut tidak akan ditutup sepenuhnya, sebaliknya hanya melibatkan penutupan sebahagian jalan bagi memastikan kelancaran trafik.