fb fb fb fb fb

JAKIM, JAWI akan laksana solat jenazah ghaib buat Haniyeh

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 31 Julai- Masjid-masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya akan melaksanakan solat jenazah ghaib susulan kematian Pemimpin Hamas, Almarhum Ismail Haniyeh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata arahan sama turut dikeluarkan ke atas masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Mohd Na'im mewakili seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa dukacita terhadap kematian itu.

"Sesungguhnya Almarhum adalah seorang pemimpin rakyat Palestin telah memberikan sumbangan bakti dan jasa kepada tindakan serta usaha mempertahankan tanah Palestin dan juga hak-hak rakyat Palestin yang ditindas selama ini.

"Semoga segala baktinya dicatat sebagai amalan soleh di sisi Allah SWT," katanya menerusi kenyataan.

Media Iran hari ini mengesahkan bahawa Ketua Hamas, Ismail Haniyeh terbunuh akibat serangan udara selepas menghadiri majlis perasmian presiden baharu Iran di Tehran, awal pagi tadi.

BERITA BERKAITAN:

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM