fb fb fb fb fb

Jabatan Pertanian bangunkan e-Lesen Lembaga Racun Makhluk Perosak

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Nor Sam Alwi

PUTRAJAYA, 2 Oktober - Sistem e-Lesen Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) dibangunkan bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan dan tatakelola penuh bertanggungjawab serta berintegriti.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Nor Sam Alwi berkata, sistem tersebut adalah gabungan sistem pengurusan pembelajaran (LMS) yang disediakan kepada pihak berkepentingan untuk setiap perkhidmatan pelesenan racun makhluk perosak.

"Kita memperkenalkan sistem yang mana dahulu permohonan lesen ini kita buat secara manual dan sekarang kita telah melalui dalam talian dan menggunakan aplikasi. Kita harapkan dengan penggunaan aplikasi ini kita dapat kumpulkan maklumat secara elektronik dan kita gunakan maklumat secara elektronik ini bukan sahaja untuk mempermudahkan pengguna daripada segi pengeluaran lesen dimana mereka akan mendapatnya dengan lebih cekap dan cepat," kata Nor Sam kepada pemberita pada Program Jerayawara e-Lesen LRMP, di sini,

Beliau berkata pihaknya turut memperkenalkan kod respons pantas (QR) kepada LRMP untuk mengenal pasti kesahihan lesen yang diluluskan.

Nor Sam berkata maklumat yang terdapat di dalam sistem e-Lesen LRMP akan disalurkan ke papan pemuka bagi tujuan pemetaan premis yang mempunyai kelulusan daripada Jabatan Pertanian.

“Dalam hal ini, penglibatan pihak berkepentingan penting dalam membantu Jabatan Pertanian memantau aktiviti berkaitan racun makhluk perosak bagi memastikan pematuhan syarat-syarat penjualan demi menjamin kesejahteraan semua,” katanya.

Bagi memastikan sistem e-Lesen LRMP dapat digunakan secara menyeluruh, Nor Sam berkata Jabatan Pertanian melalui Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja telah mengadakan beberapa sesi jerayawara di setiap zon bagi memastikan pihak berkepentingan dapat menggunakan sistem tersebut dengan lebih berkesan.

TETITIA YUSOFF