fb fb fb fb fb

Isu tunggakan gaji pemain, KLFA mula buat pembayaran

Foto FB KLFA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) sudah mula membayar sebulan gaji berserta dengan sebahagian caruman KWSP dan PERKESO kepada pemainnya.

Presiden baharu, Syed Yazid Syed Omar menerusi satu kenyataan berkata pihak DBKL telah nyatakan kesediaan untuk salurkan dana sebanyak RM1 juta hujung bulan ini.

Dana tersebut dijangka dapat menyelesaikan sebahagian lagi tunggakan.

Bagaimanapun, jumlah itu masih belum cukup untuk melangsaikan seluruh tunggakan yang ditanggung.

Jelas Syed Yazid, ia menjadi tanggungjawab beliau dan barisan jawatankuasa untuk mencari penyelesaian.

Beliau percaya dengan komitmen dan kerja keras daripada semua barisan Jawatankuasa Eksekutif KLFA, akan dapat melaksanakan segala yang telah dirancang dengan lebih teratur dan berkesan.

Sementara itu, bekas Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad berharap nasib kakitangan dan pemain kelab itu akan berubah di bawah kepimpinan baharu.

Beliau turut mengalu-alukan kenyataan Presiden baharu, Syed Yazid yang mahu fokus untuk selesaikan tunggakan gaji, KWSP dan hutang-hutang lain KLFA serta KL City FC.

Perkara itu amat perlu bagi mengelakkan lesen pasukan dibatalkan.

Khalid turut berharap agar usaha mencari pelabur untuk membeli saham syarikat pemilik KL City FC iaitu KLUFC Sdn Bhd dapat diteruskan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM