KUALA LUMPUR, 14 Februari- Kerajaan berperanan mewujudkan persekitaran yang membolehkan industri getah Malaysia merealisasikan potensi sepenuhnya, selain mencapai kecemerlangan global serta memaksimumkan sumbangannya kepada ekonomi domestik.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata melalui Pameran dan Persidangan Industri Getah Antarabangsa 2022 (IRICE 2022), ia dapat menentukan peluang serta menangani cabaran yang dihadapi oleh penggiat industri getah.
"Selepas pelancaran ini Persatuan Pengeluar Produk Getah Malaysia akan membuat 'roadshow' didalam dan luar negara dan pada September dengan mengadakan pameran besar-besaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),
"Perkara ini akan menjadi titik mula kepada momentum yang baik, dalam masa sama akan membuka mata pemain-pemain industri luar negara yang turut dijemput menghadiri expo berkenaan untuk menyaksikan kemajuan industri getah di Malaysia," katanya dalam sidang media pelancaran IRICE 2022.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Dr Daroyah Alwi, Pengerusi LGM, Lee Chin Cheh, dan Presiden Persatuan Pengeluar Produk Getah Malaysia (MRPMA), Yeaw Kok Kwey.
IRICE 2022 diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa ke-10, 2022 (IRGCE 2022) dan RubberCon2022.
Acara tersebut akan berlangsung pada 6 hingga 8 September 2022.