fb fb fb fb fb

Institusi TVET perlu kerjasama industri untuk tawar program berkualiti dan relevan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2024 di Putrajaya / Foto RTM

PUTRAJAYA, 13 November- Penglibatan aktif pihak industri diperlukan bagi membolehkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menawarkan program yang lebih berkualiti serta relevan dengan keperluan pasaran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerjasama kukuh antara pemain industri dan institusi TVET penting dalam memastikan padanan antara penawaran dengan permintaan (demand and supply) berlaku secara komprehensif.

Beliau berkata input yang konsisten daripada pihak industri mengenai keperluan dan kemahiran tenaga kerja semasa juga diperlukan bagi membangunkan kurikulum dan program yang bersesuaian.

"Jalinan kerjasama erat bersama pihak industri ini dapat mewujudkan tenaga kerja pakar baharu untuk menguasai teknologi terkini yang mempunyai spillover effect atau kesan limpahan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

"Saya ingin menyeru penglibatan aktif industri di Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menyokong agenda memperkasakan TVET," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2024 di sini, hari ini.

Sementara itu, kerajaan sedar penawaran aliran TVET di Malaysia perlu ditambah baik agar lebih tersusun dan berkesan.

Penganjuran pertandingan kemahiran merupakan antara usaha kerajaan untuk mempromosi dan memastikan kualiti penyampaian latihan TVET di Malaysia selari dengan standard antarabangsa.

"Saya ingin menyeru agar agensi-agensi TVET dapat menganjurkan pertandingan kemahiran di peringkat institusi masing-masing agar kita dapat memilih bakat yang terbaik ke peringkat kebangsaan dan seterusnya peringkat antarabangsa," katanya.- BERNAMA

 

Trainee