fb fb fb fb fb

Insiden tembakan Maritim Malaysia: Bukit Aman ambil alih siasatan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Februari- Insiden tembakan membabitkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Banting, Selangor pada 24 Januari lalu, kini di bawah siasatan Bukit Aman.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil alih siasatan kes tersebut berdasarkan siasatan dalaman ke atas anggota terlibat.

"Saya baru sahaja mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Razarudin dan Datuk Hussein. Kita bersetuju bahawa ketika siasatan pihak polis ke atas Maritim Malaysia ini, kru yang terlibat dalam insiden itu juga akan direhatkan sepanjang siasatan.

Ini kerana semakin kita siasat, ada potensi siasatan itu membuka kepada seksyen-seksyen yang jauh lebih serius. Jadi, ia tidak memadai dengan IPD daerah sahaja. Sekarang, ia sudah diambil alih oleh ibu pejabat Bukit Aman," kata Saifuddin kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Mengulas berhubung siasatan, polis telah menahan seorang individu dipercayai sebagai penghantar (transporter), setakat ini.

Polis turut membuka siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh, Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM