fb fb fb fb fb

Insiden Kampung Sungai Baru: Siasatan lengkap, lapan individu akan didakwa

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Disember - Lapan individu yang ditahan berhubung kekecohan di Kampung Sungai Baru pada September lalu, yang mengakibatkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi cedera, akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata kertas siasatan kes berkenaan telah lengkap dan pihak polis telah menerima arahan pertuduhan daripada pihak pendakwa raya.

"Kesemua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 145 kerana menyertai perhimpunan yang telah disuraikan, manakala seorang daripada mereka pula akan didakwa di bawah Seksyen 332 kerana menghalang dan menyebabkan kecederaan serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas," tegas beliau kepada pemberita selepas Majlis Hi-Tea dan Apresiasi Media Bersama Polis Kuala Lumpur di ibu negara, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau mendedahkan, sebanyak 313,529 saman dikeluarkan sepanjang pelaksanaan Operasi Patuh Undang-Undang (OP PUU) 2025 di sekitar Kuala Lumpur, bermula 1 Oktober hingga 25 Disember lalu.

Operasi yang melibatkan 350 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur itu katanya, bertujuan meningkatkan pematuhan undang-undang serta keselamatan pengguna jalan raya.

"Walaupun tempoh advokasi selama sebulan dan kempen penguatkuasaan agresif dijalankan di kawasan 'hotspot', masyarakat masih melanggar peraturan lalu lintas, termasuk peraturan yang paling asas," menurutnya.

Statistik menunjukkan kesalahan tertinggi melibatkan halangan lalu lintas dengan lebih 200,000 saman, diikuti mengabaikan isyarat lalu lintas hampir 80,000 saman.

Kesalahan lain yang turut direkodkan termasuk tiada atau tamat tempoh lesen memandu, tiada cukai jalan, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, serta kegagalan mematuhi pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar.

Daripada segi jenis kenderaan, kereta mencatatkan jumlah saman tertinggi melebihi 246,000, diikuti motosikal lebih 56,000 saman.

Sepanjang tempoh operasi, polis turut membuat 162 tangkapan serta menyita dan menunda kenderaan yang melanggar undang-undang.

PDRM menegaskan operasi ini akan diteruskan bagi memastikan disiplin pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.

EZA YUSMAWATI YAACOP