fb fb fb fb fb

Insiden bot karam : empat mayat ditemukan, seorang selamat

Seorang mangsa berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand/RTM

LANGKAWI, 11 November - Seorang mangsa berjaya diselamatkan, manakala empat mayat ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia–Thailand, Sabtu lalu.

Ini menjadikan 34 mangsa ditemukan secara keseluruhan, setakat hari ketiga CARILAMAT beroperasi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa memaklumkan, mangsa lelaki dewasa berjaya diselamatkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira pukul 12.49 tengah hari di lokasi 0.1 batu nautika barat Tanjung Belua. 

"Keempat-empat mayat terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki itu ditemukan di Pulau Intan Kecil, dan Tanjung Belua Langkawi sekitar pukul 1 petang hingga 4.13 minit petang," kata beliau.

Operasi CARILAMAT setakat ini merekodkan 34 mangsa secara keseluruhan dengan 14 mangsa diselamatkan terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita.

Sementara itu, 20 mangsa disahkan maut, terdiri daripada tujuh lelaki, sembilan wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ