PUTRAJAYA, 13 Disember- Infrastruktur pendidikan tinggi akan diberi perhatian terutama di Sabah dan Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Yusof Apdal perhatian yang sama rata dan seimbang perlu diberikan seperti yang diterima negeri di semenanjung.
Ia bagi mencapai matlamat kementerian untuk memperkasa pendidikan di peringkat tinggi universiti sama ada di Institusi Pengajian Tinggi Awam atau Swasta.
"Kita kena bagi perhatian sama rata kepada semua terutamanya infra-infra ini sebab bila kita cakap tentang pembangunan, infrastruktur kena ada.
"Kalau kita hanya buat satu dasar tapi infranya tak begitu memuaskan, tentunya perjalanan untuk capai matlamat itu tak tercapai dengan baik.
"Kami hendaklah menyediakan kemudahan sama yang kami sediakan terutama di kawasan bandar di semenanjung seperti yang kita dapat di Selangor atau Kuala Lumpur, bagi kepada Sabah dan Sarawak juga supaya pendidikan ini akan boleh membentuk sebuah negara yang kita impikan," katanya.
(Datuk Mohd Yusof Apdal)
Mohd Yusof bercakap kepada media selepas memulakan tugas rasminya, di sini hari ini.
Tambah beliau, dengan kepimpinan dan pengalaman sedia ada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ia akan dapat membantu mencapai matlamat kementerian dengan sebaiknya.