fb fb fb fb fb

IKONDESA buka peluang usahawan desa tembusi pasaran bandar

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Peluncuran IKONDESA@Putrajaya, di sini / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 September- Usahawan desa kini berpeluang memasarkan produk di pusat bandar menerusi inisiatif baharu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dikenali sebagai IKONDESA.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, IKONDESA menjadi lonjakan baharu yang mengangkat produk desa ke peringkat lebih tinggi.

“Inilah antara beberapa game changer yang kita lakukan. Langkah ini termasuk memperkukuh keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam e-dagang, digitalisasi serta pengukuhan jenama dan pensijilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran IKONDESA@Putrajaya, di sini.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, IKONDESA akan menjadi pencetus rezeki baharu, pemangkin peluang lumayan dan penjana pendapatan berterusan.

“Projek IKONDESA ini bukan berhenti di sini. Selepas Putrajaya, ia akan diperluas ke Anggerik Mall, Shah Alam dan memberi peluang kepada usahawan dari setiap negeri memasarkan produk mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, lokasi Putrajaya dipilih kerana menjadi tumpuan pelancong luar dan dalam negara yang berpotensi besar membeli produk keluaran usahawan desa.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN