KUALA LUMPUR, 7 Mac - Kerajaan sentiasa mengalu-alukan idea tambahan bagi menangani kebimbangan umat Islam yang terpaksa mengendalikan minuman beralkohol di tempat kerja kerana ia tidak dibolehkan dalam agama Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) turut mengalukan cadangan supaya kedai serbaneka menggunakan mesin layan diri untuk menjual minuman beralkohol.
Langkah itu bagi memastikan agar pekerja Islam tidak perlu lagi mengendalikan barang berkenaan.
"Kita juga membantu mereka ini yang sedang berusaha mencari jalan keluar daripada bekerja di premis arak ini untuk mendapatkan bantuan sementara dari pusat zakat, dari majlis agama Islam sehingga mereka ini boleh mendapat pekerjaan sesuai menerusi program-program pembangunan asnaf, keusahawanan dan aspek kemahiran dan sebagainya. Idea seperti dimaklumkan Yang Berhormat Pulai, Suhaizan Kayat itu sangat kita hargai dan kita akan cuba bawa untuk dibincangkan di peringkat-peringkat yang berkaitan," kata Dr Zulkifli, di Parlimen.
Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Wakil Pulai yang mengetahui jika kerajaan dapat memperkenalkan mekanisme baharu yang boleh membantu mengelakkan pekerja Islam daripada terlibat dalam perniagaan berkaitan minuman beralkohol.