KUALA LUMPUR, 17 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak agar umat Islam di negara ini supaya menghayati kesederhanaan yang dalam ibadah Haji, agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan tarikan kemewahan dunia yang sementara.
Perdana Menteri menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini menjelaskan peluang mengerjakan ibadah haji merupakan kurniaan Illahi kepada hambaNYA.
"Kita mengenang manasik Haji sebagai salah satu rukun Islam. Namun seyogia diingat, Haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri bertujuan merubah jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana.
Tatkala berihram dengan pakaian serba putih nan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan dan kesederhanaan. Segala busana mewah dan lencana kehormat harus ditinggalkan. Demikian juga wuquf di Arafah, suatu perhimpunan raksasa tanpa mengira status, darjat dan pangkat, membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Azza wa Jalla", jelasnya.
Perdana Menteri dalam pada itu turut mengingatkan agar tidak melupakan golongan asnaf ketika menyambut Aidiladha sama ada di kota atau di desa.
"Kongsilah nikmat Tuhan bersama mereka dan bahagiakan mereka dengan mengerjakan ibadah korban, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya antara amalan yang paling disukai Allah ialah memasukkan kegembiraan ke dalam hati mukmin, iaitu melepaskan dia dari kesedihan, atau menyelesaikan hutang yang ditanggunginya, atau memberinya makan ketika dia kelaparan.” (hadis riwayat al-Bayhaqi).
“Akhirul kalam, saya turut mendoakan agar para jemaah yang kini berada di tanah suci beroleh haji yang mabrur, dan semoga pulang ke tanah air dengan sejahtera,” ujarnya.