
PUTRAJAYA, 25 Mei– Harga barangan makanan domestik dilaporkan masih stabil bagi tempoh 18 hingga 21 Mei lalu.
- Julat pergerakan harga barangan makanan antara negatif 2.0 peratus hingga positif 3.6 peratus.
- Harga purata ayam RM9.57 sekilogram; harga daging lembu turun 2 peratus kepada RM38.45 sekilogram.
- Kerajaan terus memantau dan menguatkuasakan, serta menggalakkan penggunaan aplikasi PriceCatcher dan Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata julat pergerakan harga barangan makanan ketika ini berada dalam julat antara negatif 2.0 peratus sehingga 3.6 peratus.
“Melihat kepada pergerakan harga barangan utama, purata harga ayam kini direkodkan pada RM9.57 sekilogram. Berita baik bagi pengguna apabila harga daging lembu mencatatkan penurunan sebanyak dua peratus kepada RM38.45 sekilogram.”
“Bagaimanapun, harga sayur sawi mengalami kenaikan ketara sebanyak 3.6 peratus kepada RM7.08 sekilogram. Bagaimanapun, pengguna masih mempunyai pilihan memandangkan terdapat kawasan dan premis perniagaan tertentu yang menawarkan harga lebih rendah,” kata Akmal Nasrullah pada sesi Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Tambah Akmal, kerajaan akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.
Pada masa sama, orang ramai disaran menggunakan aplikasi PriceCatcher bagi membandingkan harga dan membuat pilihan pembelian yang lebih bijak.
Maklumat tersebut juga boleh disemak melalui Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan yang telah dibuka untuk akses orang awam.