fb fb fb fb fb

Harap pengganti teruskan inisiatif Payung Rahmah - TPM Ahmad Zahid

PONTIAN, 24 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap konsep Bakul Rahmah yang diperkenalkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub diteruskan oleh penggantinya kelak.

Ahmad Zahid berkata pengorbanan Allahyarham yang bekerja keras menjalankan inisiatif Payung Rahmah pasti memberi kesan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dalam menangani kos sara hidup.

“Allahyarham seorang yang sangat baik, rajin bekerja tidak mengira masa dan tidak kira di mana sahaja. Dalam Kabinet, beliau sangat bekerja keras dan teliti terutamanya apabila menjalankan pelbagai program di bawah inisiatif Payung Rahmah.

“Oleh itu, inisiatif ini perlu ada kesinambungannya oleh sesiapa sahaja yang akan dilantik menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

"Rakyat pasti teringat akan sumbangan beliau pada negara melalui skim Payung Rahmah ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Salahuddin di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat, dekat sini hari ini.

(Datuk Seri Ahmah Zahid Hamidi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Salahuddin di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat)

Ahmad Zahid akui sudah lama mengenali Salahuddin sejak Ahli Parlimen Pulai itu bersama Pemuda PAS lagi.

Sejak memegang porfolio di bawah kementerian itu, Allahyarham memperjuangkan nasib rakyat yang berdepan kos sara hidup dengan memperkenalkan beberapa inisiatif Payung Rahmah.

Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhirnya pada 9.23 malam Isnin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar Kedah.

Allahyarham ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Allahyarham, yang meninggalkan seorang balu dan enam anak terdiri daripada empat lelaki serta dua perempuan, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat di Johor hari ini. 

Media Baharu