Hampir 200 penduduk SPMP Muslim Labuan sertai kempen keselamatan kebakaran

Kejadian kebakaran di SPMP Labuan yang berlaku pada Jumaat lalu/ JBPM Labuan

LABUAN, 19 Julai – Kesedaran mengenai langkah pencegahan serta tindakan awal ketika kebakaran terus diperkasa dalam kalangan penduduk Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) Muslim menerusi Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran yang diadakan hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan bersama Majlis Keselamatan Negara Labuan.
  • Disertai hampir 200 penduduk termasuk ketua blok dan ketua isi rumah.
  • SPMP Muslim dipilih kerana risiko kebakaran tinggi akibat rumah rapat dan struktur kayu.
  • Peserta didedah langkah pencegahan, penggunaan alat pemadam, keselamatan LPG dan tindakan awal sebelum ketibaan bomba.

Program anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan itu disertai hampir 200 penduduk yang terdiri daripada ketua blok dan ketua isi rumah.

Pengarah MKN Labuan, Hafiez Mohd. Daud berkata, SPMP Muslim dipilih sebagai lokasi pelaksanaan kempen berikutan tahap risiko kebakaran yang tinggi disebabkan kedudukan rumah yang rapat serta kebanyakannya dibina daripada struktur kayu.

Peserta diberi taklimat dan dilatih menggunakan peralatan pemadam kebakaran/ JBPM

Menurutnya, pemilihan kawasan itu juga dibuat berdasarkan analisis risiko selain mengambil kira kejadian kebakaran besar yang pernah berlaku di penempatan berkenaan tahun lalu.

“Pemilihannya di SPMP Muslim ini amat diteliti oleh pihak kami dan juga pihak bomba kerana tahun lepas telah berlaku kebakaran yang besar. Hasil daripada itu, kita mengambil langkah awal untuk melaksanakan program kempen sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sepanjang program, peserta diberikan pendedahan mengenai langkah pencegahan kebakaran, cara penggunaan alat pemadam api, aspek keselamatan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) serta tindakan awal yang perlu diambil sebelum ketibaan pasukan bomba.

Penganjuran kempen itu diharap dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan penduduk dalam menghadapi kecemasan sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat kebakaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.