
Mengundi (PDM)
KANGAR, 19 Julai – Jawatankuasa UMNO Bahagian Kangar dan kepimpinan di 31 Pusat Daerah Mengundi di kelima-lima Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Parlimen Kangar perlu terus memberikan fokus dalam gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
- Ketua UMNO Bahagian mengadakan pertemuan dan perkongsian maklumat dengan kepimpinan serta menyusun gerak kerja menyeluruh mendekati penduduk.
- Pertemuan mendedahkan sokongan padu dan perhatian positif untuk melihat Perlis kembali berada di bawah kepimpinan Barisan Nasional.
- Fokus gerak kerja pada susun atur, perancangan dan kajian manifesto bagi pilihan raya akan datang, diselaraskan di peringkat negeri.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, pihaknya telah mengadakan pertemuan dan perkongsian maklumat dengan kesemua kepimpinan dan jawatankuasa di 31 Pusat Daerah Mengundi dan menyusun gerak kerja secara menyeluruh dengan mendekati penduduk bagi Parlimen Kangar.
“Hasil pertemuan bersama kepimpinan di peringkat Pusat Daerah Mengundi serta penduduk setempat menunjukkan sokongan padu dan perhatian positif untuk melihat Perlis kembali dipimpin oleh Barisan Nasional.
“Gerak kerja di peringkat Parlimen Kangar kini menjurus kepada susun atur, perancangan serta mengkaji manifesto yang bakal ditawarkan dalam PRU16 yang akan diselaraskan dan disesuaikan di peringkat negeri supaya ia menjadi kesatuan dan kebersamaan untuk kembali mentadbir Perlis dan menjadikan negeri ini lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di Dewan Warisan, di sini.
Lebih 1,000 jawatankuasa UMNO Bahagian Kangar, perwakilan dan pemerhati serta jemputan khas menghadiri mesyuarat perwakilan berkenaan.