
GEORGE TOWN, 19 Julai – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sindiket pemerdagangan manusia yang dibongkar di Berapit, Bukit Mertajam bagi memastikan semua individu yang terlibat, termasuk dalang utama, segera dibawa ke muka pengadilan.
- Operasi PDRM berjaya, membuktikan komitmen serta keberkesanan pasukan dalam membanteras jenayah rentas sempadan.
- Steven Sim merakamkan penghargaan, menggesa penguatkuasaan dan pemantauan lebih rapi terhadap sindiket pemerdagangan dan penipuan canggih.
- Serbuan di Berapit menyelamatkan wanita warga Cameroon, menahan suspek Taiwan dan menahan 29 warga asing tanpa dokumen sah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, kejayaan operasi yang dilaksanakan PDRM, khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Bukit Aman, membuktikan komitmen serta keberkesanan pasukan itu dalam membanteras jenayah rentas sempadan.
“Saya merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada PDRM. Pada masa sama, saya menggesa PDRM dan Kementerian Dalam Negeri memperhebat usaha penguatkuasaan serta pemantauan bagi mengekang kegiatan sindiket pemerdagangan manusia dan penipuan yang semakin canggih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam akan terus memantau rapat perkembangan kes berkenaan dan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa, termasuk PDRM serta Jabatan Imigresen Malaysia, bagi memperkukuh langkah pencegahan.
Pada Jumaat, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng dilaporkan berkata, polis berjaya membongkar sindiket pemerdagangan dan eksploitasi manusia menerusi serbuan di sebuah premis di Berapit.
Dalam operasi itu, polis menyelamatkan seorang wanita warga Cameroon berusia 25 tahun yang dipercayai dikurung dan dieksploitasi.
Serbuan sama turut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Taiwan yang dipercayai majikan serta pengendali sindiket berkenaan, selain 29 warga asing termasuk sembilan wanita kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.