SEREMBAN, 14 Ogos - Kira-kira 150,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia sejak konflik melibatkan etnik tersebut berlaku di Myanmar.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), menerima mereka memandangkan keadaan terkini konflik di Naypyidaw.
Jelas beliau, Bangladesh ketika ini terpaksa menguruskan seramai 1.3 juta orang Rohingya terutamanya di kawasan di kem pelarian Cox's Bazar.
"Kita terpaksa mengurus pelarian Rohingya ini hampir 150,000 orang yang terpaksa melarikan diri. Sebagai anggota PBB, kita menerima mereka untuk sementara waktu bukan untuk selamanya.
"Tetapi keadaan di Myanmar itu sendiri tidak memungkinkan rakyat mereka kembali semula ke negara mereka.
"Kita akan pastikan supaya keadaan ketenteraman di negara itu dapat diurus dan kembali seperti biasa," katanya pada majlis Penyerahan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung Sekolah Kebangsaan Lavender, Senawang, di sini.