Hab TBB : Malaysia rancang guna semula tapak loji arang batu

Setiap loji janakuasa yang ditamatkan operasi mewujudkan industri serta menjana pelaburan baharu

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Malaysia merancang menggunakan semula tapak loji janakuasa arang batu yang bakal ditamatkan operasi sebagai hab tenaga boleh baharu (TBB), kemudahan penyimpanan tenaga bateri serta pembangunan tenaga bersih lain bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Armada loji arang batu mewakili infrastruktur penting seperti rangkaian penghantaran, kemudahan industri dan tanah di lokasi strategik.
  • Tapak terpilih berpotensi ditransformasikan menjadi hab tenaga boleh baharu dan kemudahan penyimpanan tenaga bateri, menyokong ekonomi tempatan.
  • Rangka Kerja Nasional Penggunaan Semula Tapak Arang Batu kukuhkan kerjasama antara kerajaan, badan kawal selia, utiliti, pelabur dan komuniti.
  • Setiap loji yang ditamatkan operasi membuka peluang industri baharu, pelaburan, pekerjaan serta sokongan kepada sasaran NETR termasuk penghentian arang batu menjelang 2044.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu, armada loji arang batu sedia ada mewakili infrastruktur negara yang signifikan termasuk rangkaian penghantaran, kemudahan industri serta tanah yang terletak di lokasi strategik.

“Daripada membiarkan aset-aset itu menjadi aset terbiar, kita harus melihatnya sebagai peluang untuk mewujudkan nilai ekonomi baharu.

“Tapak-tapak terpilih mempunyai potensi besar untuk ditransformasikan menjadi hab tenaga boleh baharu, kemudahan sistem penyimpanan tenaga bateri serta pembangunan tenaga bersih lain yang terus menyumbang kepada ekonomi tempatan, di samping menyokong objektif peralihan tenaga negara,”katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Forum Ekonomi Dunia ‘Malaysia’s Energy Future : Power Sector Decarbonization Deep Dive’.

Datuk Seri Fadillah dalam pada itu menyatakan, cadangan Rangka Kerja Nasional Penggunaan Semula Tapak Arang Batu turut menyediakan asas penting bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan, badan kawal selia, syarikat utiliti, pelabur dan komuniti tempatan dalam merealisasikan usaha berkenaan.

“Setiap loji janakuasa yang ditamatkan operasi membuka peluang industri baharu, menjana pelaburan serta menyediakan tenaga kerja bagi ekonomi masa hadapan. Itulah kaedah peralihan yang dilaksana secara bertanggungjawab yang mampu mewujudkan kemakmuran berkekalan.

“Langkah itu selaras komitmen negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menetapkan sasaran untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu baharu serta beralih daripada penjanaan elektrik berasaskan arang batu menjelang 2044, di samping mencapai kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 70 peratus menjelang 2050,”katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.