fb fb fb fb fb

Golongan OKU turut menyumbang pertumbuhan ekonomi

Datuk Seri Nancy Shukri

SELANGOR, 16 Januari- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berhasrat untuk bekerjasama dengan Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd (Gardenia KL) bagi memperkasakan program Bengkel Daya kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Program bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu akan menjadi inisiatif yang berpotensi untuk peningkatan kemahiran dan perkongsian pengetahuan teknologi, khususnya dalam seni pembuatan roti dan pastri.

"Langkah ini akan membantu pelatih Bengkel Daya dalam meningkatkan kualiti produk mereka. Selain itu, ia juga mencipta peluang pekerjaan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan golongan muda daripada institusi JKM kerana mereka sukar mendapatkan pekerjaan.

"Ia juga sejajar dengan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) berterusan daripada Gardenia melalui program Gardenia Cares. Kerjasama ini akan menumpukan kepada sasaran demografi kementerian bagi menangani keperluan khusus dengan lebih berkesan," katanya ketika berucap pada pelancaran semula program lawatan kilang Gardenia Bakeries KL di sini.

Bengkel Daya merupakan bengkel perlindungan di bawah JKM khusus untuk OKU yang tidak berjaya mendapatkan pekerjaan di pasaran terbuka.

Ia menyediakan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan roti dan pastri bagi memberikan mereka sumber pendapatan.

Bagaimanpaun pihak kementerian turut menyediakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa golongan itu untuk mencari pekerjaan demi keterjaminan hidup mereka.

"Sekarang ini ramai golongan OKU yang mempunyai latar pendidikan dan memreka antara individu yang boleh diberikan pekerjaan.

"Sebab itu kita bekerjasama dengan pihak swasta untuk memberikan peluang pekerjaan atau latihan supaya golongan OKU boleh mendapat endedahan dan boleh menyesuaikan diri," katanya.

Nancy berkata kemudahan infrastruktur dan ketidaksesuaian bidang mungkin menjadi kekangan untuk sektor korporat menawarkan pekerjaan.

Bagaimanapun, beliau turut menambah bahawa golongan itu juga dapat menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI